Sejarah TVS (TV Sarawak)

Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada asalnya merancang untuk melancarkan sebuah stesen televisyen khusus untuk Sarawak sebagai sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk pendigitalan televisyen Malaysia.[1] Perancangan itu, bagaimanapun, tidak membuahkan hasil kerana ia tidak dilaksanakan yang mana ia digantikan oleh saluran OKEY dan rancangan televisyen negara kemudiannya dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta hanya untuk dilancarkan sebagai saluran penstriman.[2]

Lesen stesen penyiaran sendiri diberikan melalui suatu pengumuman oleh Sim Kui Hian, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.[3] Stesen ini bersiaran awal pada 10 Oktober 2020 melalui satelit TV berbayar Astro di saluran 122 sempena hari kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebelum dirasmikan pada keesokan harinya pada 11 Oktober 2020.[4][3] Ia merupakan stesen televisyen separa kerajaan ketiga negara selepas Bernama TV (2008) dan TV AlHijrah (2010).

Pada 12 Oktober 2020, TVS menyiarkan berita terbitan sendiri iaitu Utama TVS. Program berita waktu perdana itu disiarkan langsung dari LG12, Lower Ground Floor, Mall 2, CityOne Megamall, No. 1, Jalan Song, 93350 Kuching, Sarawak.

TVS kini bersiaran di Astro, MYTV dan Unifi TV di saluran 122 dalam format HD (definisi tinggi).

Pada 6 Februari 2021, TVS mula bersiaran secara rasmi melalui platform MYTV di saluran 122 menggantikan Channel W yang telah ditamatkan siaran pada 1 Januari 2019.

Pada 29 Oktober 2021, TVS buat kali pertamanya menyiarkan siaran langsung pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Zafrul bin Abdul Aziz.

Pada 1 Oktober 2023, TVS mula bersiaran secara rasmi melalui platform Unifi TV di saluran 122 sempena ulang tahun ke-3 TVS yang diraikan pada 10 Oktober 2023.[5]